Tuesday, February 19, 2013

ASUN

“Buda…”
“Saya hadir, cikgu!”
“Bundau…”
“Saya hadir, cikgu!”
“Jeli…”
“Jeli tak hadir cikgu,” jawab satu suara dari belakang kelas.
 Tanganku pantas menulis kosong pada buku kehadiran sambil mata kadang kala melilau mencari pandang arah suara yang menyahut saat nama dipanggil.
“Laing…”
“Saya hadir, cikgu!”
“Pristella…”
“Saya hadir, cikgu!”
“Willson Asun…”
Tidak kedengaran jawapan. Suasana senyap sunyi. Aku masih ralit menulis beberapa nama sambil telinga menadah menunggu suara-suara yang mungkin menyahut.
“Willson Asun…!”
Kali ini kukuatkan nada mengharapkan murid yang dipanggil menjawab. Mungkin tadi suaraku tenggelam dek keriuhan suara sepanjang blok kayu 3 bilik darjah ini.
Masih lagi sunyi tiada jawapan dari si empunya nama. Mataku melilau mencari segenap pelusuk kelas. Hati mula menggerutu. Ni dah entah kali ke berapa dah. Asyik lewat, lewat, lewat! Kalau hari-hari macam ni macam mana la aku nak terangkan kalau nazir yang memantau bertanya. Dah la nazir tu bukan tahu pun keadaan kat sini macam mana, budak-budak tu macam mana, kehidupan mereka tu macam mana. Hmmm….apalah nasib aku terdampar jauh kat sini. Bosan! Sudahlah jauh dari tempat orang! Kena lagi dengan benda-benda macam ni.
“Asunnnn!!!”
“Saya hadir, cikgu!”.
Akhirnya, murid yang sedari tadi kupanggil muncul juga. Ku kerling jam di dinding. 2 petang! Kali ni apa pula alasan budak Asun ni. Hari-hari dengan perangai yang sama! Kalau berterusan macam ni boleh sakit darah tinggi aku!
“Kenapa lambat? Awak ingat ni sekolah awak punya ke??”. Jelas nada marah yang aku lontarkan menjadikan suasana dalam kelas tahun 2 itu umpama dilanda garuda. Hinggakan detik jam di dinding boleh didengar dengan jelas. Hiruk pikuk kelas-kelas lain juga dari tadi reda barangkali sudah menerima kehadiran guru yang bertugas.
Murid yang ditanya hanya menundukkan kepala. Masih berdiri kaku di hadapan pintu menguis-nguis tali beg yang disandang dengan jemarinya.
“Asun, awak ni dah pekak ke apa?? Saya tanya awak, jawablah!” marahku masih bersisa. Kalau sekali dua terlewat hadir ke sekolah masih lagi boleh ku terima. Ini dah setiap hari. Malah, lebih menyakitkan hati bila murid yang ditanya hanya diam membatu tanpa sepatah kata pun mampu keluar dari mulut! Wajah Asun kerenung geram.
Peluh renik menitis ke lantai. Asun tidak mampu memandang ke wajah Cikgu Delia. Bukan kerana takut. Tapi lebih kerana hormatkan Cikgu Delia sebagai insan yang mendidik dan memberi ilmu. Kata emak, insan sebegitulah yang perlu dihormati. Marah mereka tanda mereka sayang, bukan kerana mereka benci. Jentik mereka cuma sedikit untuk mengajar kita, memberi ilmu mengenal erti kehidupan. Otaknya bukan tidak ligat menjawab soalan yang diaju. Tapi apa gunanya kalau jawapan yang diberikan hanya menambah marah Cikgu Delia. Asun mengeluh. Peluh yang meleleh di pipi dilap. Kepenatan berlari tadi masih belum hilang. Asun masih cuba mengatur nafas selega mungkin.
“Baiklah…ini amaran terakhir saya. Kalau esok awak lambat lagi, baik tak payah awak datang ke sekolah! Apa yang awak dapat kalau datang sekolah pun lambat?”.
Bentakan suara Cikgu Delia mengejutkan Asun dari lamunan.
“Masuk!”. Arahan Cikgu Delia melegakan Asun. Senyuman di bibir mekar semula. Matanya sesekali mengerling ke arah rakan-rakan yang lain tatkala menuju ke tempat duduk. Syukur Cikgu Delia tidak menghukumnya kali ini.
“Terima kasih cikgu”, ujar Asun perlahan lalu melabuhkan punggung ke kerusi.
Sedikit pun aku tidak mengangkat muka memandang semula ke arah Asun selepas mengarahkannya duduk. Sakit hati melihat kerenah murid yang satu itu. Seringkali hanya nama itu sahaja yang menjejaskan peratusan kehadiran kelas. Tidak hadir bersebab satu hal, lewat datang ke sekolah satu lagi hal. Macam manalah aku boleh jadi guru kelas ni!
Aku menanda ‘L’ pada nama Asun. Tanpa sepatah kata, kapur putih pantas dicapai.
“Saya nak kamu semua salin soalan-soalan ni. Pastikan semua jawapan kamu betul sebelum kamu hantar kepada saya. Saya tak nak orang meniru! Laing, lepas habis masa nanti kutip semua buku dan hantar ke meja saya”.
Semua murid mula mengeluarkan buku latihan dan bekas pensel masing-masing. Tiada seorang pun yang berani membuka mulut, apatah lagi hendak bergurau senda sesama mereka. Masing-masing khusyuk menulis soalan demi soalan yang kutulis di papan hitam.
*          *          *
“Ina, kau dah isi borang permohonan pindah hari tu? Dah hantar kat Puan Sopia?”.
“Belum lagi Lia. Aku rasa macam tak sedia lagi la nak isi”, jawab Salina sambil tangannya menyemak buku-buku latihan yang berlonggok di hadapannya.
“Laa…kau ni kenapa Ina? Dulu kau juga kata dah lama sangat berkhidmat kat sini. Nak rasa suasana baru la, apa la. Kenapa kau ni?” soalku dengan nada tidak berpuas hati dengan jawapan Salina.
“Itu dulu la Lia. Tiga tahun dah benda tu berlalu. Sekarang ni aku rasa aku dah mula jatuh cinta kat tempat ni, kat sekolah ni. Malahan, kalau boleh aku nak bimbing semua anak-anak kampung ni biar berjaya sampai masuk sekolah berasrama penuh kat bandar tu. Terbuka sikit minda mereka”, ujar Lia sambil tersenyum.
Ternyata jawapan lancar daripada mulut Lia menyebabkan aku sedikit geram. Penat-penat aku ambilkan borang tu, dengan harapan nak tolong kawan. Sama-sama dapat pindah ke tempat yang lebih baik.
“Kau marahkan aku ke Lia?” tanya Salina.
“Taklah…”, jawabku seakan merajuk.
“Habis tu, kenapa diam je?” soal Salina lagi.
“Aku penat-penat tau ambil borang tu untuk berikan pada kau. Konon nak bantu kawan la. Ya la, sebelum ni beria-ia nak pindah. Sekarang ni lain pula”, ujarku perlahan.
“Delia, bukan senang kerja nak pindah-pindah ni. Aku bukan tak mahu. Tapi aku masih rasakan yang khidmat aku masih diperlukan di sini. Tak lama lagi budak-budak tahun 6 tu kan nak UPSR. Aku sebagai guru bahasa Lia. Sedikit sumbangan jasa yang aku hulurkan buat mereka mana tahu boleh mengubah pendidikan mereka jadi lebih baik”, balas Salina tenang.
“Aku sebenarnya hairanlah dengan kau ni Delia. Aku ni asal dari semenanjung. Tak kisah pun kalau tak dapat pindah dari sini. Tapi kau tu…anak jati Sarawak. Dah biasa dengan kehidupan macam ni. Rumah panjang, denai, hutan, nyamuk, nak pergi mana-mana guna sampan atau jalan kaki je. Sepatutnya kau lebih faham keinginan budak-budak tu. Dan kau sepatutnya bijak menilai apa yang perlu kau lakukan di tanah tumpah darah kau sendiri”, tambah Salina lagi.
“Sebab aku dah muak nak lalu semua tu lagi la aku nak pindah! Aku dah bosan kau tahu tak? Dari kecil sampailah sekarang hidup aku tak perlu nak berubah ke? Duduk dalam kawasan terpencil macam ni, minda langsung tak berkembang!” balasku sedikit geram.
“Muak?? Sepatutnya kau bersyukur kerana berkhidmat di tanah tumpah kau sendiri. Menghulur bakti kepada anak-anak yang memerlukan. Tambahan lagi bangsa kau sendiri! Berkembang apa lagi yang kau nakkan? Takkah selama ni sekolah kita ni memang dibekalkan internet. Nah…kau google saja apa yang kau nak tahu. Berita?? Hujung jari saja sekarang ni. Pendidikan sekarang ni pun kita boleh tau semudah 1,2,3 saja tau. Hiburan?? Ala…buka saja komputer tu sambung internet. Wireless sekolah kita ni walaupun tak 24 jam sekurang-kurangnya masih boleh untuk kita lihat dunia luar. Tak payah nak menjelajah sangat la. Konon terpencil sangat la tempat ni. Setakat 3 jam guna ekspress dari Sibu tu tambah 2 jam guna perahu panjang nak ke sini apa la sangat terpencilnya. Masih boleh sampai jugakan? Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih Delia!” sinis balasan Salina. Namun wajahnya masih tenang menyemak buku-buku latihan.
Aku tersentak. Tak pernah menyangka akan keluar kenyataan sebegitu dari mulut Salina. Sepanjang bersahabat semenjak zaman belajar sehinggalah kini, inilah kali pertama aku dengar Salina mengujarkan kata-kata sebegitu kepadaku. Bukan tidak pernah bercakaran, tapi kata-kata Salina kali ini sedikit membuatkan aku terasa seakan ditenjangkan di khalayak. Pandangan kulempar jauh ke hujung padang sekolah. Angin petang lembut menyapa. Redup rendang pohon di hadapan beranda rumah guru seakan memujuk hati agar menambah kesabaran di hati. Sepatah demi sepatah ujaran Salina kutelan pahit.
*          *          *
“Buda…”
“Saya hadir, cikgu!”
“Bundau…”
 “Saya hadir, cikgu!”.
“Jeli…”
“Saya hadir, cikgu!”
“Laing…”
“Saya hadir, cikgu!”
“Pristella…”
 “Saya hadir, cikgu!”
“Willson Asun…”
Sunyi. Seperti sudah ku agak. Belum sempat aku menanda ‘L’ pada kedatangan terdengar ketukan di pintu.
“Cikgu…”
Aku pantas menoleh melihat si empunya suara. Seorang murid tahun 6 melangkah masuk apabila tangan kulambai tanda mengizinkannya masuk.
“Ada mesyuarat di bilik guru jam 2.30 petang nanti cikgu”, ujar murid tersebut.
“Baiklah. Terima kasih”, balasku.
Minda ligat berputar. Ahh…mesti mesyuarat tentang KSSR lagi. Kalau ikutkan tahun ni 2013. KSSR akan dilaksanakan bagi tahun 3. Sebagai guru kelas tahun 2 yang dah menggunakan KSSR ni sedikit sebanyak pendedahan aku mungkin berguna bagi guru kelas tahun 3 nanti. Sama seperti dua tahun sebelum ini kurikulum baru tersebut telah dijalankan secara berperingkat. Aku masih kurang pakar sebenarnya dengan aliran perdana memandangkan ianya jauh menyimpan daripada major yang kuambil semasa di institut dulu. Kalau KSPK (Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan), itu aku pakar. Sebab memang major aku prasekolah. Malangnya aku tak dapat nak praktikkan apa yang aku tuntut dulu untuk aliran perdana. Walaupun begitu sedikit sebanyak ilmu pedagogi yang aku belajar dulu boleh diamalkan.
Buku kehadiran kutatap semula. Ahh…nama ni lagi. Naik menyampah aku!
“Cikgu….”, panggil satu suara dari sudut kelas.
“Ada apa Jeli?”. Panahan tajam mataku membuatkan Jeli murid yang agak kecil saiz badannya di dalam kelasku tunduk. Mulutnya terkumait-kamit seolah ingin menyatakan sesuatu.
“Apa dia Jeli? Saya tak dengar. Tolong kuat sikit bercakap tu!”.
Sergahanku menyebabkan Jeli semakin menikus. Tangannya mencuit-cuit Buda, rakannya di sebelah.
“Asun tak datang hari ni cikgu”, ujar Buda bagi pihak Jeli.
Aku hanya mengangguk. Ada atau tidak anak itu tidak menjadi kudis bagi aku. Dia bukan isu besar bagi aku sekarang. Kalau boleh biarlah dia tidak hadir terus. Lagi bagus. Hadir tapi menyusahkan aku lebih baik tak payah hadir terus. Kerja aku lagi senang nak menanda kehadiran. Pengajaran pun tak akan tertangguh hanya kerana nak tunggu seorang murid saja.
Buku kerja kubuka. Helaian demi helaian kuselak. Mencari-cari latihan yang telah kusediakan malam tadi. Selepas mengedarkan latihan kepada murid dan menerangkan langkah-langkah menyelesaikan latihan aku terus menuju ke bilik guru. Sempat kutitipkan pesanan kepada Laing selaku ketua kelas agar memastikan semua murid menyiapkan latihan masing-masing tanpa meniru dan mengutip semula latihan yang telah siap dah dihantar ke mejaku.
*          *          *
“Masuk hari ni dah dua minggu dah budak Asun tu tak sekolah”, ujarku perlahan sambil membetulkan tudung.
“Hai…kan kau juga yang tak suka sangat dengan budak tu? Apa dosa budak tu kat kau pun aku tak tau”. Salina menunduk sambil membuang semut yang mula merayap di kakinya.
“Aku tak pernah pun cakap macam tu”.
“Tapi daripada tingkah laku kau kat dia nampak sangat yang kau tak sukakan dia. Budak-budak ni Lia dia orang lagi tahu daripada kita yang dewasa ni kalau orang suka atau tak kat kita tau”.
Aku melepaskan keluhan berat. Memikirkan kata-kata Salina membuatkan aku kehilangan kata-kata.
“Kalau kau nak tahu dia ada abang. Ulik nama dia. Ulik tu budak kelas aku. Tahun ni UPSR. Muka serupa sangat dengan Asun tu. Masa aku tanya dia, adik beradik dengan Asun ke? Dia jawab ya”, ujar Salina lagi.
“Kenapa tak cakap awal-awal?? Kau ni kan…ishh!”.
“Hai…marah pula. Dah kau yang tak tanya. Takkan aku pula yang terhegeh-hegeh nak bagitahu. Ye la orang kalau dah tak suka ni suku sakat keluarga orang yang dia tak suka pun kena sekali”, tajam sindiran Salina.
“Eh, aku dah kata kan. Aku tak pernah cakap aku tak sukakan budak Asun tu! Dah la…aku nak balik. Duduk sini lama-lama nanti terbakar pula tempat ni aku kerjakan”, ujarku lantas berdiri dan berlalu pergi.
“Nak balik dah? Kau tak nak ikut aku ke? Aku nak ke hujung padang tu haa..nak ambil pucuk paku sikit”, laungan Salina kubiarkan pergi dibawa angin petang.
Langkah kaki kuhayun pantas menuju ke rumah. Sedikit sebanyak kata-kata Salina mencengkam jauh ke lubuk hati. Teringat akan peristiwa 2 minggu lepas.
“Baiklah…ini amaran terakhir saya. Kalau esok awak lambat lagi, baik tak payah awak datang ke sekolah! Apa yang awak dapat kalau datang sekolah pun lambat?”.
Mungkinkah Asun tak datang ke sekolah disebabkan kata-kata aku tu? Ish…tak mungkin la. Aku bagi amaran saja. Cuma nak takutkan dia. Manalah tahu dengan amaran tu dia akan datang lebih awal ke sekolah. Mana aku tahu lain pula yang jadi. Betulkah kata-kata Salina yang budak Asun tu tahu aku tak sukakan dia?? Eh! Aku tak pernah cakap pun la aku tak sukakan dia. Aku cuma tak suka dia datang lambat ke sekolah.
Hatiku mula berdolak-dalik. Antara mengiakan atau menidakkan kata-kata Salina.
Kau dah melampau sangat Delia. Asun tu budak lagi. Tak patut kau cakap macam tu kat dia. Sepatutnya sebagai guru kau yang mendidiknya, menunjukkan contoh teladan yang baik. Bukannya bercakap seolah-olah dia tu tak berperasaan. Kau rasa dengan menghukum Asun dengan kata-kata macam tu mampu ke nak selesaikan masalah ni?
Ahhh…bukan aku yang mencipta masalah! Dah budak Asun tu sendiri pemalas! Dah tahu sekolah sesi petang sepatutnya awal pagi dah bangun. Berlatih bangun awal. Nanti dah sekolah sesi pagi kan senang. Ni tak. Entah-entah sebelum turun sekolah pergi main ke mana la dulu. Bukannya nak ambil peluang buat ulang kaji ke apa. Mana nak ubah nasib diri kalau dah pemalas macam tu. Tu belum lagi datang sekolah dengan baju tak bercuci seminggu. Naik loya tekak aku kalau lalu sebelah budak tu. Entah-entah memang tak mandi bila turun sekolah!
Hati masih lagi degil. Berdongkol bila mengimbau kembali saat melihat Asun dengan pakaian sekolah kotor dan berbau. Ditambah lagi dengan latihan-latihan yang diberikan sentiasa tidak pernah lengkap disiapkan. Kegagalan Asun untuk datang awal ke sekolah semakin mencambahkan lagi benih-benih amarah di hati.
Keluhan berat terlepas jua. Entah apa maknanya aku juga kurang pasti. Marahkan aku? Bencikah aku? Atau aku hanya melampiaskan kesal dan geram kerana tidak berjaya memperoleh apa yang aku hajati?? Pindah sekolah!
*          *          *
Panas terik mentari terasa menyengat kulit. Payung yang digunakan seolah-olah kalah melawan teriknya bahang mentari. Ku percepatkan langkah menyusur jalan berbatu kecil menuju ke tangga bangunan sekolah. Tanpa sedar aku terlanggar tubuh kecil yang terkocoh-kocoh berlari tatkala loceng menandakan sesi pagi persekolah berakhir.
“Maafkan saya, cikgu. Saya tak sengaja”, tulus sahaja ucapan yang terlahir daripada mulut murid itu.
“Lain kali jangan berlari. Tak lari ke mana rumah awak tu. Nanti jatuh siapa yang susah? Baju kotor nanti mak juga yang terpaksa cuci”, nasihatku lembut.
Entah angin mana yang menghembus aku sehinggakan aku yang terkenal dengan gelaran guru mangah ini mengeluarkan kata-kata selembut itu.
“Maaf cikgu, saya nak cepat. Adik saya tengah tunggu nak ke sekolah juga. Saya balik dulu cikgu”, ujar murid itu lagi.
Tanpa menolah ke belakang dia terus berlari. Aku hanya memandang dari jauh. Wajah itu mengingatkan aku dengan seseorang. Macam Asun. Tiba-tiba aku teringat perbualanku dengan Salina tentang Ulik, abang Asun yang wajahnya seiras benar wajah Asun. Ya, Ulik! Abang Asun. Tadi dia kata adik dia tengah tunggu nak ke sekolah juga. Sebenarnya kat mana rumah si Asun pun aku tak pernah tahu. Setiap kali Hari Permuafakatan dijalankan di sekolah, ibu atau bapa Asun sering tidak dapat menghadirkan diri. Ini juga membuatkan aku tidak mempunyai kelangsungan untuk bertemu empat mata dan berbicara mengenai masalah Asun. Bersungguhkah aku nak berbicara tentang masalah Asun tu?
Tanpa aku sedar kakiku pantas melangkah mengekori larian Ulik. Denai becak berlumpur kulalui. Kadang-kala tergelincir gara-gara kasut yang kupakai. Tiada langsung jalan yang rata atau batuan kecil apatah lagi jalan bertar seperti di bandar-bandar hebat. Daun-daun pokok renek sedikit mengganggu perjalanan. Melekat umpama corak tambahan di baju. Peluh memercik di dahi. Inikah perjalanan yang terpaksa ditempuhi Asun setiap hari untuk ke sekolah?
Resah hati mula bertamu. Bila lagi nak sampai? Setengah jam perjalanan. Mustahil terlalu jauh. Murid-murid lain yang aku tahu semuanya tinggal di rumah panjang. Tapi bukan di satu rumah panjang yang sama. Mungkin Asun ni tinggal di rumah panjang yang agak jauh. Aku cuba melegakan hati sendiri.
Kulihat Ulik membuka pakaian sekolahnya. Hanya menggunakan seluar pendek. Kasut juga telah dibuka. Menggalas beg yang penuh berisi buku-buku Ulik meneruskan semula larian. Nun tidak jauh di hadapan kulihat seorang wanita dan seorang kanak-kanak melambai-lambai ke arah Ulik dari ruai rumah panjang. Semakin panjang langkahku mendekati semakin jelas wajah-wajah itu. Asun!
Hati dipagut pilu bila mana pakaian yang tadinya dipakai oleh Ulik disarung pula oleh Asun. Begitu juga dengan kasut. Beg juga bertukar tangan. Ulik pantas mengeluarkan isi-isi beg dan memberikan beg tersebut semula kepada Asun.
Nama hal dik laun pulai??”, soal Lumit.
“Apuh…kami bisik kerja bak skul din. Ndak abis ndak ulih pulai kami. Laban kami kak UPSR deh. Nyak lah cigu ngasuh kami ngabis duluk kerja skul nyak. Bisik gik tuk meh. Cigu ngasuh maik pulai”, tutur Ulik sepatah-sepatah sambil mencuci kakinya yang kotor dek becak sepanjang jalan pulang.
Entah bila aku sudah berada di hadapan rumah panjang keluarga Asun. Dan dengan jelas aku mendengar setiap butir bicara mereka anak beranak.
“Aihh…cigu Delia. Nama gagak dik bak dituk? Aihh…pansut…pansut…”, pelawa Lumit sambil tersenyum simpul.
Aku tergamam. Kami tidak pernah bertemu. Entah macam mana ibu Asun tahu nama aku? Ahh…mungkin juga Asun yang selalu bercerita memburukkan aku di hadapan ibu bapanya.
“Asun…asuh pansut cigu nyak. Aku kak ngadu aik duluk. Udah nadai nama-nama bak rumah tuk. Dik nyak Lik. Nama hal dik maik cigu ndak nemu madah duluk. Apuhhh…!” Lumit masuk ke dalam rumah.
Aku melabuhkan punggung di ruai.
“Asun….Asun…tuci kasut cigu Delia nyak. Kamah nyak. Tuci bak parit nyin”, arah Lumit kepada Asun. Tanpa berlengah Asun terus menjinjit kasutku ke telaga tidak jauh dari rumah panjang mereka. Kulihat bersungguh-sungguh anak kecil itu membersihkan tanah becak yang melekat di kasutku. Sedikit pun tiada riak benci tatkala bertentang mata denganku. Ulik turut membantu Asun.
“Nah cigu. Nadai nama-nama bak rumah kami tuk cigu. Kopi jak bisik”, Lumit menghidangkan kopi di hadapanku.
“Nadai ngawa nyak. Aku tuk datai ukai kak minum”, aku cuba menyusun kata sebaik mungkin.
“Nama hal cigu? Asun bisik kes bak skul diak kah? Nyak la aku madah ngau Asun. Anang ndak nurun skul. Nibuh nulung apai nyak. Ndak ningar jakuk. Bekeni tuk cigu?” riak wajah Lumit menunjukkan rasa kesal. Aku sedikit keliru. Asun tak hadir ke sekolah sebab menolong bapanya? Apa maksud Lumit?
“Nama maksud dik tuk kak? Ndak nemu aku. Aku ukai datai ketegal nyak. Manah Asun bak skul. Nadai kes nama-nama”, ujarku pula berusaha sedaya mungkin menyembunyikan getar dalam nada.
“Jadi…nama hal nyak cigu datai tuk? Ulik maik dik datai dituk ka?”, soal Lumit dalam cemas. Masih ragu akan tujuan kedatanganku.
“Ndak…ukai kenyak. Aku tuk ngikut Ulik ari belakai. Laban aku nemu Ulik ngau Asun nyak madik. 2 minggu udah Asun ndak datai skul. Jadi aku tuk datai kak nanyak nama hal. Sakitkah?”. Semakin kusut pula rasanya perbualan kami bila aku mula berbasa-basi. Sukar sungguh menyatakan apa yang aku fikirkan. Sukar sungguh juga untuk mendapatkan kepastian persoalan yang bermain di mindaku sedari tadi.
“Ohh…nyak la tadik aku madah ke dik. Asun nyak nulung apainya ngambik padi. Ndak ka Gawai ndak lamak gik. 2 minggu aku ndak ulih angkat ari tilam. Tuk baruk manah asai palak ku tuk. Apuhhh cigu…sakitku 2 minggu nya. Asun kesian medak apai nyak nadai urang nulung. Laban selalu aku nulong apai nyak. Nyak la Asun ndak nurun skul. Ulik pun sebenarnya enggai nurun skul. Tapi aku madah ngau Ulik, UPSR nyak penting. Laban nyak la penentu Ulik tuk ulih ka ndak ke skul bagus-bagus ilak. Ukai aku ndak paham ilmu tuk penting cigu, tapi laban aku tuk sakit, ndak ulih ngurus kedirik mpun apai nyak berebut ngambik padi. Asun jak la ulih arapku.” Satu persatu Lumit menerangkan kepadaku. Aku terangguk-angguk umpama belatuk mematuk pokok kayu.
“Aku kak nanyak tuk. Anang mangah kitak. Ukai nama, aku tuk cigu kelas Asun. Jadi penting mat aku nemu nama hal masalah Asun bak rumah. Laban tiap ari Asun laun datai skul. Skul mula pukul 1 sesi petang, tapi Asun datai pukul 1 lalu. Tiap ari. Bekeni kami kak nulung Asun laban Asun beketuk. Ukai aku ndak nanyak kedirik ngau Asun. Tapi Asun enggai nyaut aku. Aku enggai sengapak”, akhirnya terlafaz juga persoalan yang menekan aku selama ini. Seakan lepas sebuah bebanan yang kutanggung.
“Cigu, aku ukai sengaja ngasuh Asun laun datai skul. Beketuk sebenarnya. Kami tu pedak dik, urang miskin. Nadai bisik nama-nama bak rumah kami tuk cigu. Ngarap katil bak tidor nadai, makai nama-nama jak isik utan din. Padi ulih apai nyak ndak mayuh baka urang lain. Laban kami nadai bisik tanah besai. Padi nyak cukup makai jak. Kak ulih duit lebih apai nyak ngambik upah ngau bala rumah panjai bak darat din. Laban sidak nyak mayuh urang bisik tanah besai, mayuh duit. Baju kenak Ulik nurun skul nyak kungsi ngau Asun. Nyak la tiap kali sebedau nurun pagi ke skul aku madah ngan Ulik, pulai jampat. Asun kak nurun skul. Cigu ngasuh anang laun kitai laban kitai kak nuntut ilmu tuk ndak ulih sengapak. Asun selalu ndar bejakuk nyerita hal dik cigu. Apuh…cigu Delia manah…selalu ngasuh kami beketuk bekenyak. Merik kami kerja bak skul. Ngajar kami. Beg skul kungsi, kasut kungsi. Kami tuk nadai duit cigu. Nyak la kami ndak mampu meli seduai nyak baju. Seminggu skul seminggu gak ndak cuci baju nyak. Bekeni aku kak nyuci? Pagi Ulik ngenak baju nyak nurun skul. Petang Asun ngenak baju nyak. Nyuci malam bila kak rangkai baju nyak? Nyak la Asun selalu laun datai skul. Tambah gik jarak rumah kami ngau skul. Cigu mpun udah datai dituk udah nemu ndak? Kadang aku mpun ndak tan idup beketuk cigu. Nyak la aku ngasuh seduai nyak belajar amat-amat. Anang main bak skul. Kitai ndak nemu nanyak ke cigu. Hormat cigu, nyak merik ilmu ngau kitai. Urang pandai tuk ulih nulung keluarga legik.” Panjang bicara Lumit. Aku hanya mampu terdiam. Sungguh, aku tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Tersentuh dengan cerita Lumit. Mulianya hati Asun. Sedikit pun tidak pernah diceritakan tingkah dan layananku terhadapnya semasa di sekolah. Malahan dia sentiasa menunjukkan aku guru yang terbaik sekali mendidiknya.
Terharu melihatkan layanan Lumit terhadapku. Walau hanya sekadar kopi kosong namun bersungguh benar dia memberikan layanan terhadap tetamunya. Asun dan Ulik yang duduk di tepi tangga ku pamit. Menitis air mata tatkala melihat tubuh kecil menyarung pakaian sekolah yang comot. Ternyata telahanku selama ini salah belaka. Tuhan, ternyata aku salah. Sewajarnya aku mendidik mereka dengan penuh kasih dan sayang. Menghulur khidmat baktiku sepenuh hati. Bukannya sentiasa mencari ruang dan peluang meletakkan kesalahan di bahu mereka. Aku harus membimbing bukannya semakin menjatuhkan. Berpijak ku di bumi nyata. Kenapa harus aku menidakkan kenyataan yang terpampang di depan mata. Maafkan cikgu, Asun.
Lafaz ikrar yang kuucap 3 tahun dahulu akan pasti aku tunaikan…di mana bumi kupijak di situ langit kujunjung…dan situ jualah bakti kucurah.

p/s : sebuah cerpen berdasarkan kisah yg pernah ku baca d fb dulu...then aku karangkan jadi cerpen. semalaman menghadap lappy kesayangan untuk ni...bila idea datang mula la x tdo dan mula la mengarut kan...hihihi..ni la hasilnya. Btw ni kenangan masa MPR (Minggu Penulis Remaja 2013) yg baru je berlalu. ^_^